KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu mengumpul sebanyak RM3.7 juta bagi disalurkan dalam dana #Aid4Palestine untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel.
Pesuruhjayanya, Datuk Husain Awang berkata, jumlah itu melepasi sasaran awal yang ditetapkan sebanyak RM1.7 juta.
Katanya, sumbangan tertinggi diraih Pas Marang sebanyak RM671,055 diikuti Kemaman (RM584,482), Kuala Terengganu (RM523,694), Kuala Nerus (RM480,000) dan Dungun (RM418,000).
“Di samping itu, Dewan Ulama negeri turut menyumbang sebanyak RM20,000 selain Dewan Pemuda, Muslimat dan lain-lain.
“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada kepemimpinan Pas kawasan dan dewan-dewan di samping rakyat. Ini menunjukkan kebersamaan kita di Terengganu dengan perjuangan umat Islam di Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Kemanusiaan Palestin Peringkat Terengganu secara dalam talian, malam tadi. – UTUSAN ONLINE