Panjut bentuk kapal selam Nanggala tarik perhatian - Utusan Malaysia

Panjut bentuk kapal selam Nanggala tarik perhatian

PELITA panjut bentuk kapal selam KRI Nanggala 402 yang dipasang di Kampung Bukit Merah, Bagan Serai. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Sekumpulan enam anak muda di Kampung Bukit Merah Semanggol, di sini membina pelita panjut bentuk kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang tenggelam di Perairan Bali Indonesia minggu lalu sebagai tanda simpati terhadap tragedi itu.

Bentuk pelita panjut itu sepanjang lapan meter dan tinggi tiga meter direka sebagai mengenang kru Nanggala 402 yang terkorban dan tanda sokongan kepada rakyat Indonesia.

Wakil kumpulan yang membuat reka bentuk kapal selam itu, Azizul Hafiz Mohd. Nordin, 34, berkata, idea timbul kerana insiden itu memberi impak emosi yang mendalam bagi masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia yang turut membantu misi mencari dan menyelamat.

Katanya, pada awalnya dia bersama lima rakannya iaitu Suhaimi Sani, Nadhir Muhammad, Ajwad Noh, Khairul Anuar dan Yazid kesemuanya berusia dalam 30-an mahu membuat bentuk kapal biasa.

“Ketika itu ada di antara kami mencadangkan supaya dibuat bentuk kapal selam KRI Nanggala 402 sebagai tanda simpati terhadap kejadian itu.

“Setelah berbincang, kami mencari bahan -bahan yang sesuai dan diperlukan. Dalam tempoh empat hari, kapal selam ini berjaya disiapkan” katanya hari ini.

Pelita panjut itu adalah persiapan komuniti di Kampung Bukit Merah untuk mengambil bahagian dalam Pesta Panjut Ramadan anjuran UMNO Bahagian Bagan Serai.

Selain berbentuk kapal selam, terdapat juga pelita panjut berbentuk rumah kampung, pintu gerbang dan kereta api elektrik (ETS).

Menurut Azizul Hafiz, pelita panjut bentuk kapal selam itu dibina menggunakan besi dan buluh dan belum siap sepenuhnya.

“Setakat ini lebih 120 pelita panjut telah digunakan dan kami sekarang pada fasa akhir bagi menyiapkan keseluruhan bentuk kapal selam ini,” katanya.

Kali terakhir pesta panjut di sini ialah pada tahun 2017 dan Kampung Bukit Merah berjaya meraih tempat ketiga menerusi rekaan pelita panjut berbentuk rumah kampung. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN