Pajero bawa ketum terbabas dalam kebun getah selepas dikejar Aksem

Pajero bawa ketum terbabas ketika dikejar Aksem

SEBUAH Pajero yang dinaiki beberapa penyeludup ketum terbabas selepas dikejar anggota Aksem Chuping dalam kejadian di sebuah kebun getah berhampiran kawasan ladang tebu, Chuping, Padang Besar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dinaiki beberapa orang penyeludup membawa muatan ketum terbabas selepas dikejar anggota Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) Chuping dalam kejadian di sebuah kebun getah berhampiran kawasan ladang tebu, Chuping di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, anggota Aksem yang melakukan tugas rondaan di kawasan tersebut terserempak dengan kenderaan terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Azizan Saman berkata, pihaknya cuba untuk menahan kenderaan terbabit, namun pemandunya telah bertindak memecut laju bagi meloloskan diri.

“Kami bertindak mengejar mereka dan turut menggunakan pembesar suara dengan memperkenalkan diri sebagai polis dari Aksem Chuping serta mengarahkan pemandu tersebut berhenti.

“Apabila sampai di kawasan kebun getah, kenderaan tersebut terbabas dan beberapa orang suspek lelaki melarikan diri meninggalkan kenderaan tersebut dengan enjin masih hidup. 

“Anggota kita cuba mengejar mereka (penyeludup) namun tidak berjaya,” katanya di sini hari ini.

Tambah Azizan, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit, pihaknya menemukan 29 guni putih mengandungi 1,015 kilogram daun hijau dipercayai ketum bernilai RM30,450.

Katanya, semua barang rampasan termasuk pacuan empat roda yang bernilai RM20,000 itu dibawa ke Kompleks Aksem Chuping untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya