KUANTAN: Pengoperasian kasino di pusat peranginan Genting Highlands di Bentong, dekat sini telah diarah ditutup sepenuhnya bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihak polis sudah mengarahkan pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melakukan pemantauan dengan segera.
“Walaupun selepas dikaitkan dengan beberapa kes positif Covid-19, buat masa ini memang (kasino) itu masih lagi beroperasi.
“Namun kita akan memastikan pihak terbabit mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu Abd. Jalil berkata, kebanyakan premis lain di sekitar pusat peranginan itu sudah menghentikan operasi sejak seminggu lalu.
“Kita tidak mengeluarkan kompaun kepada mereka (pengendali kasino) kerana mereka mempunyai kebenaran untuk beroperasi sebelum ini.
“Kementerian Kesihatan pada 7 Mei lalu telah mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah mengunjungi Genting Highlands dan telah didapati positif Covid-19.
“Namun kita tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan pelancong terbabit mengunjungi kasino terbabit atau tidak,” katanya.
Jumaat lalu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan SOP lebih ketat dikenakan terhadap sektor ekonomi, berkuatkuasa esok.
Difahamkan, operasi pusat perjudian berlesen termasuk kasino terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. – UTUSAN