MUKADIMAH
Sebagai syarikat pemaju hartanah, keutamaan Myra adalah untuk membantu memudahkan urusan golongan pembeli rumah pertama. Membeli rumah bukanlah satu perkara yang mudah, kerana banyak perkara yang perlu disediakan. Pembeli bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan tentang proses pembeliannya, malah perlu bijak mengatur strategi kewangan agar tidak mensia-siakan pelaburan wang yang pastinya bukan sedikit.
Ikuti temu bual eksklusif wartawan Utusan Malaysia, Shafiqah Shukor bersama Pengurus Jenama dan Budaya Myra, Akil Hassan Kalimullah.
UTUSAN: Apakah perkembangan terkini Myra?
AKIL HASSAN: Kami ada beberapa projek pangsapuri servis baharu yang sedang diusahakan di Nilai, Negeri Sembilan. Apabila kami membuat kaji selidik, kawasan ini lebih digemari golongan pelabur kerana mempunyai ramai penduduk dan unitnya juga agak kecil. Bagaimanapun, ketika membuat reka bentuk, sasaran dan perancangan kami adalah untuk mempertimbangkan pembeli yang ingin tinggal di situ.
Pada masa yang sama kami juga tidak melupakan pasaran pelaburan jadi kawasan itu mempunyai enam unit yang berbeza untuk memenuhi permintaan kumpulan yang berbeza-beza. Projek seterusnya ialah Myra Saujana Fasa tiga yang terletak di Jenderam yang baru sahaja dilancarkan.
Adakah anda bersetuju anak muda sekarang lebih cenderung untuk menyewa daripada membeli rumah? Apakah faktor-faktornya?
Sama ada sewa atau beli tiada jawapan yang betul atau salah. Ia bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Bagaimanapun, orang ramai perlu faham, menyewa atau membeli, kedua-duanya memerlukan duit. Jadi, menyewa untuk jangka masa panjang ada kekurangannya tersendiri kerana duit yang dibayar untuk menyewa setiap bulan tidak akan membantu pembayar memiliki rumah itu.
Sejauh mana pandemik memberi kesan kepada syarikat?
Kemajuan pembinaan kami terkesan teruk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh Malaysia. Namun, selepas PKP kami cuba sehabis baik untuk mengejar garis masa yang telah dirancang dan nasib baik sekarang kami semakin stabil.
Dari segi jualan kami terkesan sedikit sahaja kerana orang ramai masih mahu membeli rumah didorong dengan bantuan kerajaan dan pakej-pakej yang ditawarkan oleh pemaju.
Selain itu, ialah syarikat kami sendiri dimana kami semua terpaksa bekerja dari rumah jadi pekerja-pekerja harus biasakan diri dengan penggunaan teknologi untuk pelancaran pekerjaan harian.
Boleh nyatakan projek-projek yang sedang dilaksanakan dan dalam perancangan?
Myra Putra yang merupakan pembangunan yang merangkumi kondominium lima tingkat di Pinggiran Putra sudah hampir selesai dan telah habis dijual. Manakala, Myra Vista di Salak Tinggi dijangka akan siap pada tahun hadapan dengan 95 peratus unit sudah terjual.
Selain itu, projek di masa hadapan kami mempunyai satu projek di Cyberjaya dan Jenderam yang akan merangkumi pembangunan bercampur.
Jualan tahun lalu dan unjuran jualan pada tahun ini. Apakah strategi-strategi yang Myra laksanakan dalam tempoh pemulihan ekonomi?
Jualan tahun lalu ialah RM181 juta, dan sasaran jualan tahun ini ialah RM350 juta, hampir dua kali ganda lebih tinggi dari sebelumnya. Untuk mencapai jualan tersebut kami akan membuat kajian untuk memahami apa keperluan orang ramai dan kenali pelbagai jenis pembeli.
Kami akan meluangkan masa lebih banyak di laman web kami untuk berhubung dengan orang ramai dan kenal pasti apa kemahuan dan kesukaran mereka dalam memiliki rumah.
Dari segi produk pula kami akan menambah baik reka bentuk supaya lebih bernilai dan lebih bermakna kepada pembeli rumah. Kami juga merancang untuk mengurangkan kos pembinaan dengan menggunakan kaedah dan bahan yang lebih menjimatkan supaya harga jualan boleh dikurangkan. Seterusnya, dari segi pemilihan kakitangan yang berprestasi juga memainkan peranan yang penting untuk mencapai sasaran itu.
Cabaran persaingan daripada pemaju lain?
Industri kini memang berdaya saing kerana pemaju-pemaju lain juga menawarkan pelbagai pakej yang menarik kepada orang ramai.
Kami akan fokus kepada membina rumah yang dimahukan oleh orang ramai dengan memenuhi keperluan mereka dan meningkatkan pengalaman mereka bukan sahaja sebelum membeli malah selepas membeli.
Bagi kami, kepercayaan pembeli dalam sesuatu jenama itu sangat penting jadi kami akan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pembeli supaya boleh mengenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu mereka. Kami juga akan menjaga hubungan baik bersama vendor dan rakan-rakan kongsi.
Pandangan mengenai industri hartanah di Malaysia?
Industri hartanah masih berada dalam tahap rendah tetapi disebabkan insentif yang diberikan oleh kerajaan, industri itu masih mendapat sambutan yang baik walaupun sewaktu dunia sedang dilanda pandemik Covid-19.
Permintaan yang tinggi rumah mampu milik menunjukkan memiliki rumah adalah satu keperluan. Jadi, kami harap kerajaan akan terus memberi insentif untuk pembeli terutamanya mereka yang mencari rumah untuk menjalani kehidupan peribadi selain untuk melabur.
Harapan anda?
Kami harap apa yang Myra lakukan untuk terus membantu pembeli-pembeli rumah pertama akan dihargai dan memberi faedah kepada mereka. Kami juga berharap ekonomi akan semakin pulih tidak lama lagi dan jumlah kes wabak Covid-19 akan menurun supaya landskap industri ini dapat ditambah baik.
Akhir sekali, semoga pekerja-pekerja kami kekal bertahan bersama Myra dalam perjalanan yang penuh dengan cabaran ini. – UTUSAN ONLINE