KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) membelanjakan lebih RM3.4 juta untuk membina dan membaik pulih kediaman golongan asnaf di negeri ini, tahun lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, seramai 249 asnaf menerima bantuan tersebut.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan dan membaiki pulih kediaman itu dilaksanakan oleh beberapa kontraktor yang dilantik dengan kos baik pulih dan membina antara RM5,000 hingga RM50,000.
“Berdasarkan rekod, Pekan adalah daerah terbanyak menerima bantuan iaitu 219 buah rumah dibaik pulih dan dua buah rumah yang baharu dibina.
“Sebanyak 37 buah rumah asnaf dibaik pulih di daerah Temerloh manakala sebanyak 33 buah rumah dibaik pulih dan sebuah rumah baharu di Rompin. Bagi daerah Kuantan sebanyak 22 buah rumah asnaf dibaik pulih dan empat buah rumah baharu dibina.
“Selebihnya daerah-daerah lain di Pahang menerima bantuan antara dua hingga lapan buah rumah dibaik pulih termasuk yang baharu dibina,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr. Asmadi berkata, setiap permohonan untuk membaik pulih dan membina rumah baharu rumah perlu dipohon melalui Muil cawangan daerah masing-masing.
“Setiap permohonan hanya diluluskan selepas siasatan dilakukan dan diputuskan oleh jawatankuasa khas. Bantuan yang diperlukan golongan asnaf akan diberi perhatian dan pertimbangan sebaiknya bagi memastikan kehidupan mereka lebih terjamin.
“Muip terus berusaha membantu dan memberi kediaman selesa kepada golongan ini dan ia memang sudah menjadi tanggungjawab dengan memanfaatkan penggunaan wang zakat yang dibayar oleh umat Islam di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, pihaknya telah menyerahkan sebuah rumah yang dibina baharu kepada penduduk orang Asli, Nurlia Hafieza Abdullah di Kampung Api Larat Mukim Bebar, Pekan, Khamis lalu.
Katanya, rumah bernilai RM50,000 berkenaan diberikan kepada mereka yang terpaksa menumpang di rumah keluarga lain.
“Difahamkan sebelum ini, Nurlia Hafieza tinggal bersama tujuh keluarga dalam sebuah rumah dan kita telah membantunya menyediakan sebuah rumah untuk memberi keselesaan kepadanya sekeluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE