JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan dakwaan usahawan kosmetik yang menjadi buruan pihak berkuasa, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau dikenali Nur Sajat berada di daerah ini setelah ditularkan di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Md. Yusof Ahmad berkata, ia selepas polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah premis di pusat perniagaan di Bandar Baru Uda serta di kondominium mewah di Danga Bay, di sini semalam.
“Hasil pemeriksaan yang dibuat pihak polis mendapati tidak ada kelibat Nur Sajat di lokasi yang dikatakan. Saya harap netizen jangan layan sangat isu seperti ini. Polis banyak lagi kerja lain yang lebih penting berbanding isu Sajat ini, lebih-lebih lagi ketika berdepan isu Covid-19.
“Kalau betul-betul nampak depan mata, barulah maklumkan kepada pihak polis. Jika tidak, tak perlulah membuat cerita yang akhirnya membuang masa polis untuk menyiasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Nur Sajat yang diburu polis didakwa kini berada di bandar raya ini berdasarkan gambar yang dikongsikan dia di laman Instagram pada Sabtu lalu yang memaparkan lokasinya berada iaitu di pusat komersial Bandar Baru Uda, di sini.
Keberadaan Nur Sajat di Johor Bahru turut menjadi tular dalam Facebook.
Seorang netizen mendakwa, usahawan kontroversi itu dipercayai menetap di salah sebuah kondominium mewah di bandar raya ini bersama pekerjanya.
Menurut netizen tersebut, ia hasil pemerhatian terhadap latar belakang video Tik Tok Nur Sajat yang menyamai reka bentuk kondominium mewah berkenaan.
Pada 26 April lalu, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang ketika itu Timbalan Ketua Polis Negara berkata, Nur Sajat dipercayai berada di luar negara.
Ia berdasarkan maklumat terkini pihaknya dan usaha mengesan usahawan kosmetik itu sedang giat dilakukan.
Nur Sajat bersembunyi selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal menghadirkan diri dalam sebutan semula kes beliau tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu. – UTUSAN ONLINE