Mualaf sebak pertama kali terima sumbangan Aidilfitri

Mualaf sebak pertama kali terima sumbangan Aidilfitri selepas 20 tahun peluk Islam

MOHAMAD Dollah Neo Abdullah yang hilang pekerjaan selepas hotel tempatnya bekerja ditutup menerima sumbangan daripada PKMMPP di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Seorang bekas pemandu di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Bukit Jambul, di sini, tidak dapat menahan sebak pertama kali menerima sumbangan barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri selepas 20 tahun memeluk Islam.

Mohamad Dollah Neo Abdullah, 60, berkata, dia kini hilang mata pencarian setelah ditamatkan perkhidmatan berikutan penutupan hotel berkenaan pada Mac lalu.

Pemberhentian operasi hotel berkenaan dibuat selepas mengambil kira keadaan perniagaan yang dihadapi pihak pengurusan susulan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu.

Difahamkan, Mohamad Dollah yang berkhidmat selama 23 tahun di hotel berkenaan antara kira-kira 300 kakitangan hotel yang menerima pampasan.

Bapa kepada seorang cahaya mata perempuan itu berkata, sumbangan diterimanya sempena Hari Raya Aidilfitri iaitu berupa barangan keperluan harian daripada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pulau Pinang (PKMMPP) menjadi sejarah dalam hidupnya.

“Bersyukur kerana masih ada individu yang prihatin dengan nasib yang menimpa saya di saat hilang pekerjaan. Ini adalah bantuan pertama kali diterima selepas 20 tahun memeluk Islam.

“Saya kini hanya menghabiskan masa menjaga anak tunggal berusia 23 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) manakala isteri pula mengambil upah membuat kuih-muih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohamad Dollah antara 30 penerima terdiri golongan asnaf, ibu tunggal dan mualaf yang menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri pada majlis yang diadakan di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Barat Daya.

Yang hadir sama Presiden PKMMPP, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan dan Pengerusi Perkim Daerah Barat Daya, Ismail Kassim.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Rosnani Awang, 57, berkata, persiapan menyambut hari raya tahun ini dibuat secara sederhana termasuk mengehadkan pembelian baju dan kuih.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Teluk Bahang dan ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian disebabkan turut terjejas dengan pandemik Covid-19.

“Sumbangan barangan keperluan harian berupa sekampit beras, susu, tepung, bihun dan bungkusan makanan kering dijadikan sebagai bekalan pada hari raya nanti. Pemberian ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami sekeluarga,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN