PETALING JAYA: Sekumpulan penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mencipta jentera pemungut buah sawit relai yang cekap dan menjimatkan kos.
Ketua Pengarahnya, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, inovasi MPOB itu menawarkan penyelesaian untuk industri sawit yang bergantung kepada kaedah manual dalam mengutip buah relai di ladang.
“Teknologi itu mengubah cara memungut buah sawit relai secara konvensional di mana buah relai yang dikumpulkan secara manual akan dimasukkan ke dalam bekas atau beg.
“Kaedah itu bukan sahaja menuntut tenaga kerja dan memakan masa tetapi membebankan selain meletihkan dan tidak produktif,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Jelasnya, teknologi yang dibangunkan oleh MPOB itu boleh dipasang pada jentera penggerak utama atau traktor mini.
Ujarnya, dengan menggunakan konsep siklon, buah sawit relai akan disedut ke dalam bekas berbentuk silinder atau tong serta mampu memisahkan buah sawit relai daripada sampah sarap.
Katanya, semasa buah relai berpusing di dalam ruang tong, buah relai yang berat akan jatuh ke bahagian bawah kerana kehilangan tenaga sementara sampah sarap yang lebih ringan seperti daun kering akan disedut keluar dari sistem.
Menurut Ahmad, MPOB telah menandatangani perjanjian dengan RZtech Resources Sdn. Bhd. untuk pengkomersialan teknologi tersebut yang dapat meningkatkan produktiviti dan tenaga kerja serta telah diluluskan untuk menerima dana pengkomersialan melalui Program Dana Mekanisasi Sawit.
Ahmad memberitahu, aktiviti penyelidikan yang komprehensif untuk membangunkan teknologi efisien telah dimulakan pada tahun 2012 dan sepanjang tempoh itu beberapa konsep dan prototaip telah dibangunkan serta diuji oleh MPOB dengan kerjasama pihak industri sawit. – UTUSAN ONLINE