Mohamed Apandi dibenar dapatkan dokumen kerajaan berkaitan pemecatannya - Utusan Malaysia

Mohamed Apandi dibenar dapatkan dokumen kerajaan berkaitan pemecatannya

1MDB Najib Jho Low
MOHAMED APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dibenar mendapatkan dokumen atau surat mengandungi perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pemecatannya daripada jawatan itu, tiga tahun lalu.

Perkara itu ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas sebahagian permohonan beliau bagi mendapatkan dokumen tersebut (discovery application) bagi menyokong tuntutan samannya, dibenarkan.

Peguam Datuk Abdul Shukor Ahmad yang mewakili Mohamed Apandi memberitahu pihak media selepas prosiding itu bahawa kerajaan perlu menyerahkan dokumen atau surat tersebut dalam tempoh 21 hari bermula hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar bagaimanapun menolak permohonan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu untuk mendapatkan kesemua surat menyurat di
antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Kerajaan Malaysia dengan Seri Paduka.

Mahkamah juga tidak membenarkan permohonan bekas Peguam Negara untuk mendapatkan semua dokumen lain yang berkaitan dengan penamatan perkhidmatan beliau sebagai peguam persekutuan pada 2018.

Keputusan tersebut dimaklumkan kepada pihak media oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili pihak kerajaan selepas prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Shamsul memberitahu, 6 Julai ini ditetapkan untuk pengurusan kes tuntutan saman itu di hadapan Latifah.

Pada 11 Disember tahun lalu, Mohamed Apandi memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen berkaitan penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara untuk membuktikan tuntutan saman terhadap bekas Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM2.2 juta.

Menurut afidavit difailkan, bekas Peguam Negara menyatakan dokumen itu berada dalam milikan, jagaan atau kuasa kedua-dua defendan dan perlu diberikan kepada plaintif bagi membuktikan tuntutan samannya.

Mohamed Apandi memohon perintah mahkamah agar beliau bebas memeriksa dan dibekalkan dengan salinan dokumen atau surat berhubung penamatan perkhidmatannya.

Mohamed Apandi menyatakan, dokumen-dokumen tersebut bukannya rahsia kerajaan kerana ia tidak termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Sehubungan itu, beliau memohon kesemua dokumen termasuk surat yang dikeluarkan di antara bekas Perdana Menteri dan kerajaan berkaitan dengan nasihat atau keputusan pemecatannya.

Sementara itu, pihak kerajaan membantah permohonan tersebut atas alasan dokumen-dokumen dimohon adalah tidak relevan dan tidak dinyatakan secara terperinci.

Disebabkan dokumen yang dimohon tidak diperincikan dengan jelas, maka terdapat kemungkinan ada di antara dokumen-dokumen itu termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pada 13 Oktober tahun lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Tun Dr. Mahathir dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan bekas Perdana Menteri itu menyalahgunakan kuasanya sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara, tiga tahun lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang dilantik sebagai Peguam Negara pada tahun 2015 juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan
kedudukannya sehingga mendorong berlakunya pelanggaran kontrak. – UTUSAN ONLINE

ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN