PETALING JAYA: Mitsubishi Motors akan mengembalikan cabang sukan bermotor dan penghasilan kelengkapannya, Ralliart selepas menyepi selama 11 tahun.
Perkara tersebut disahkan dalam pengumuman prestasi kewangan syarikat itu di Tokyo, Jepun Selasa lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Takao Kato berkata, Ralliart dikembalikan untuk memperkukuh apa yang digelar sebagai “pemanduan ke-Mitsubishi-an”.
“Buat pelanggan yang mahu merasai pengalaman ke-Mitsubishi-an, kami akan melancarkan kelengkapan ikut tempahan untuk barisan model kami selain akan menyertai semula acara sukan permotoran di seluruh dunia,” katanya seperti dipetik Forbes..
Mitsubishi sebelum ini berjaya memenangi Rali Paris-Dakar sebanyak 12 kali dan memenangi gelaran untuk pemandu sehingga empat kali dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).
Jenama itu juga pernah menggegar dunia sukan permotoran melalui dua modelnya, kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero dan Lancer Evolution pada 1980-an.
Namun, syarikat itu menarik diri dari WRC dan Rali Dakar pada 2005 selepas siri kesilapan pengurusan dan jualan yang menurun ketika itu.
Pada 2010, jenama Ralliart sendiri menghentikan penglibatan dalam sukan permotoran akibat permintaan yang menurun untuk kelengkapan dan hiasan.
Menurut Forbes, bayangan kenderaan futuristik yang dilihat dalam pembentangan pada pengumuman itu menggambarkan Mitsubishi akan kembali dalam sukan permotoran dengan SUV.
Malah, melihat kepada pelaburan jutaan dolar syarikat itu dalam segmen hibrid dan elektrik, kenderaan itu dijangka berasaskan tenaga elektrik. – UTUSAN ONLINE