Mercun, bunga api RM2.02 juta dilupuskan - Utusan Malaysia

Mercun, bunga api RM2.02 juta dilupuskan

ANTARA mercun dan bunga api yang dilupuskan Polis Johor di Lapang Sasar Batu Anam, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis melupuskan mercun dan bunga api yang dirampas dalam lapan kes yang dibuat di beberapa daerah dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2.02 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pelupusan mercun dan bunga api itu dibuat sejak Ahad sehingga Jumaat ini di Lapang Sasar Batu Anam, Segamat.

Katanya, rampasan mercun dan bunga api itu dibuat sepanjang tahun lalu hingga Februari lepas di beberapa daerah melibatkan lima kes di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, IPD Iskandar Puteri (satu kes) dan IPD Kluang (dua kes).

“Pelupusan mercun dan bunga api tanpa kebenaran bagi penyimpanan dan jualan ini dibuat setelah selesai siasatan dan pendakwaan serta telah mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah.

“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 74 Peraturan-peraturan Bahan Letupan 1957. Susulan rampasan itu, polis telah membuat tangkapan keseluruhan membabitkan 10 orang lelaki berusia lingkungan 27 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, terdapat tiga larangan untuk aktiviti penjualan semua jenis bunga api iaitu menjual kepada pembeli berumur bawah 18 tahun, urus niaga melalui dalam talian atau sebarang aplikasi media sosial dan penjualan oleh pengusaha restoran atau kedai makan.

Jelasnya, pihaknya menasihatkan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan iaitu mendapat kebenaran seperti permit, lesen, kupon atau surat rasmi berniaga daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta mempunyai tempat penyimpanan yang diperakui selamat oleh bahagian persenjataan PDRM.

“Sebarang pelanggaran syarat yang ditetapkan, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya