Membina avatar pelanggan pasaran digital - Utusan Malaysia

Membina avatar pelanggan pasaran digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa tahun dahulu sehinggalah ke hari ini, saya sering mendapat pertanyaan daripada peniaga tentang perkara yang perlu dilakukan untuk menjana pelanggan secara dalam talian dengan lebih mampan.

Memandangkan jumlah pengguna digital yang semakin meningkat dalam kadar yang pantas, sememangnya terdapat pelbagai variasi audiens dengan latar belakang peribadi, minat dan aspirasi yang berbeza dalam ruangan digital dan media sosial kini.

Atas faktor tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu terlebih dahulu diperhatikan setiap peniaga, bakal usahawan mahupun organisasi perniagaan yang berhasrat meneroka potensi pasaran dalam talian berdasarkan kajian tertentu bagi mengenal pasti prospek yang betul dalam membina pangkalan data pelanggan.

Antara perkara utama adalah dengan membina Avatar Pelanggan. Ia membantu mengenal pasti fokus audiens dan prospek pasaran yang tepat.

Avatar pelanggan merupakan salah satu kaedah penting dalam pemasaran bagi memperolehi gambaran sebenar tentang prospek dan pelanggan yang bersesuaian dengan produk atau perkhidmatan yang dipasarkan.

Dalam erti kata lain, ia merupakan profil terperinci yang diperolehi melalui kajian oleh pengusaha perniagaan tentang prospek pelanggan yang sesuai untuk produk atau perkidmatan yang ingin dipasarkan. Kajian tersebut menjadi data yang boleh dijadikan panduan dalam membina strategi pemasaran yang lebih berkesan dan efektif kos.

Antara elemen kajian adalah mengenal pasti kluster pasaran yang paling berpotensi berdasarkan pola latar belakang golongan sasaran merangkumi lokaliti geografi, demografi usia, jantina, bangsa dan seumpamanya sehinggalah keupayaan sosioekonomi serta jangkaan trend tingkah laku dan gaya hidup mereka.

Sebagai contoh, sekiranya produk yang anda pasarkan bersesuaian dengan kluster pasaran isi rumah, data yang diperolehi secara tidak langsung menjadi pangkalan data avatar pelanggan sebagai audiens sasaran.

Berdasarkan data maklumat tersebut, anda dapat memasarkan produk atau perkhidmatan yang diusahakan dengan lebih bersasar melalui teknik pemasaran kandungan seperti ‘copywriting’ dan ‘storytelling’ yang terancang serta lebih mudah diterima oleh kluster pasaran sasaran.

Ia juga dapat membantu memperkukuh strategi pemasaran dalam menarik lebih ramai pelanggan melalui fokus audiens yang telah disasarkan dengan betul.

Kini terdapat pelbagai landasan yang disediakan untuk anda melakukan kajian pasaran dalam membina pangkalan data avatar pelanggan. Antara kaedah yang paling mudah adalah melalui kemudahan yang disediakan dalam pengiklanan media sosial seperti Facebook. Ia telah menyediakan pangkalan data berdasarkan maklumat yang anda berikan tentang radius geografi dan demografi prospek sebelum melancarkan sesebuah aktiviti pengiklanan di Facebook.

Terdapat juga ciri-ciri kemudahan yang disediakan oleh Google melalui strategi Search Engine Marketing (SEM) atau pencarian kata kunci dalam menyokong aktiviti pemasaran dan periklanan di ruangan enjin carian. Ia turut membantu dalam membina capaian sebaran maklumat kepada prospek pencari maklumat yang berpotensi berdasarkan avatar pelanggan yang telah anda sasarkan.

Selain itu, aplikasi seperti Basic Business Intelligence (B.I.) dan Online Analytical Processing (OLAP) juga dapat membantu dalam mempengaruhi algoritma digital untuk capaian prospek pelanggan yang berpotensi secara berkesan dan efektif kos.

Justeru itu, mengenali golongan pasaran yang tepat adalah kunci dalam meluaskan potensi dan pengukuhan pasaran terhadap produk atau perkhidmatan serta kredibiliti jangka panjang perniagaan.

Membina avatar pelanggan yang bertepatan dengan potensi produk atau perkhidmatan merupakan pangkalan data yang menjadi aset kepada setiap perniagaan. Ia memastikan pulangan pelaburan dan membina keupayaan daya saing untuk terus berkembang maju dalam arus digital kini dan di masa hadapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya