IPOH: Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan terapung dalam Sungai Kinta di Taman Desa Aman di sini semalam.
Mangsa warga tempatan berusia 40 tahun itu dijumpai orang awam pada pukul 6 petang dalam keadaan muka dan tangan kirinya telah hancur.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika ditemukan, mayat tersebut masih berseluar panjang berwarna gelap namun tidak berbaju baju dan tidak berkasut.
Katanya, mayat itu bagaimanapun diikat dengan tali di tangan kanan ke sebatang kayu oleh saksi bagi mengelakkan ia terus dihanyutkan arus.
“Terdapat beberapa tatu disyaki kongsi gelap 08 dan labah-labah pada badan simati selain kesan kecederaan akibat gigitan binatang.
“Siasatan awal oleh pakar patalogi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan kecederaan itu dipercayai kerana digigit atau dimakan haiwan. Mangsa juga dikatakan telah mati antara dua ke tiga hari lalu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian lelaki itu akibat kecederaan tisu lembut disebabkan objek tumpul di mana senjata yang digunakan kemungkinan penumbuk, kayu atau rotan.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati terdapat luka lebam akibat pergelutan atau luka mempertahankan diri pada anggota badan lelaki itu.
“Berikutan penemuan mayat itu, kita telah menahan empat lelaki berusia 26 hingga 37 tahun untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Soal siasat awal dipercayai kesemua suspek ada penglibatan dalam kes bunuh ini,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati teman wanita lelaki itu ada membuat laporan polis Isnin lalu yang mendakwa simati diikat dan dipukul tiga lelaki.
“Kesemua suspek yang mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah itu direman empat hari sehingga Ahad ini,” katanya. – UTUSAN