PETALING JAYA: Sebanyak RM1,000 diberikan kepada 213 mangsa yang terlibat kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, dekat sini malam tadi.
Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kos rawatan penumpang yang dimasukkan ke hospital juga ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat terbabit.
Selain itu, katanya, pihak syarikat akan memberi bantuan kepada penumpang yang hilang punca pendapatan demi kelangsungan hidup sehingga mereka dibenarkan bekerja semula.
“Kos rawatan ditanggung sehingga mereka keluar dari hospital selain kos sara hidup penumpang yang hilang pekerjaan akibat kemalangan.
“Kita lakukan yang terbaik demi penumpang-penumpang ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE