PETALING JAYA: Pemilik Malaysia Airlines Berhad (MAB), Malaysia Aviation Group (MAG) menyasarkan untuk mencapai keseimbangan kewangan pada 2023 melalui Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0.
Dalam masa yang sama, kumpulan itu cuba untuk mengawal kesan pandemik Covid-19 terhadap sektor penerbangan global.
Ketua Pegawai Operasinya, Izham Ismail berkata, trajektori pulangan modal itu berdasarkan senario penurunan pemulihan berbentuk L yang mungkin akan berlarutan sehingga 2023.
“Saya harap ia tidak akan menjadi semakin teruk daripada itu.Ia memang merisaukan dan diharap pasaran akan kembali pulih.
“Kami sedang berusaha untuk mencapai tiga objektif kewangan utama iaitu menyusun semula kunci kira-kira, pemulihan untung dan rugi (P&L) serta kestabilan aliran tunai,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya .
Menurutnya, penyusunan semula kunci kira-kira itu sudah selesai manakala pemulihan P&L memerlukan masa 18 hingga 24 bulan untuk dilakukan.
Mengulas lanjut, Izham memberitahu, berdasarkan prospek pasaran terbaharu, pasaran pelancongan domestik harus bersifat mampan kerana permintaan pasaran dijangka akan lemah dan pemulihan penuh akan dicapai selepas suku keempat 2023.
“Rata-rata tambang syarikat penerbangan tidak mengesan inflasi dari tahun ke tahun dan itu telah mewujudkan keadaan yang tidak lestari untuk pasaran domestik.
“Tempat duduk banyak yang berlebihan mengakibatkan perang harga yang lebih rendah untuk semua pemain,” jelasnya.
Ujarnya, tambang domestik bukan didorong oleh kos semata-mata, tetapi ia didorong oleh kelebihan kapasiti di pasaran.
Izham berkata, MAG akan terus berkhidmat untuk pasaran pelancongan domestik dan pihaknya berharap pembuat dasar akan mereformasi pasaran sambil mengambil kira keperluan pelanggan.
MAG telah mendapat kelulusan pemiutang untuk penyusunan semula liabiliti berjumlah RM15 bilion.
Penyusunan semula itu memerlukan komitmen modal baharu bernilai RM3.6 bilion dari Khazanah Nasional Berhad untuk membiayai perniagaan tersebut sepanjang tempoh penstrukturan semula hingga 2025. – UTUSAN ONLINE