KULIM: Seorang lelaki bersenjata sebilah parang yang mengamuk dan menyerang seorang anggota polis mati ditembak dalam kejadian di Kampung Ulu Mahang, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, lelaki berusia 44 tahun yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah ditembak selepas gagal dipujuk anggota polis.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Roze Shaari berkata, sebelum itu, lelaki terbabit bertindak ganas menyerang seorang warga emas lelaki sehingga mencederakan kedua belah jari tangannya.
“Anggota polis tiba di kampung itu kemudian cuba menenangkan suspek sebelum lelaki itu melarikan diri ke sebuah bangsal sejauh kira-kira satu kilometer dari rumah warga emas yang diserang dan dicederakan itu.
“Dua anggota polis kemudian cuba memujuk lelaki itu supaya keluar dari bangsal itu serta menyerah diri.
“Namun, lelaki itu secara tiba-tiba menyerang seorang anggota polis yang berada pada jarak tiga meter sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini hari ini.
Roze berkata, tindakan lelaki itu menyebabkan seorang lagi anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah lelaki terbabit untuk menyelamatkan rakannya.
Tambahnya, lelaki terbabit rebah dan cuba merangkak ke arah anggota sebelum meninggal dunia akibat terkena satu tembakan di bahagian badan.
“Hasil semakan, lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan bukan penduduk kampung berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat.
Katanya, kes di siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE