ALOR GAJAH: Seorang lelaki maut dalam perjalanan ke tempat kerja apabila motosikal ditunggang hilang kawalan ketika melalui selekoh di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi tadi, mangsa, Idhar Mohamad, 41, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari Sungai Udang menghala ke Masjid Tanah.
“Setiba di lokasi iaitu jalan berselekoh dan sedikit menurun bukit, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi menjumpai kesan geseran di atas permukaan jalan dan kesan tayar di rumput sebelah kiri jalan.
“Keadaan jalan berselekoh dan sedikit menurun bukit manakala cuaca pula baik. Kemalangan dipercayai berpunca akibat kegagalan manusia,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN