Lelaki cuba bawa lari jet pam air diburu - Utusan Malaysia

Lelaki cuba bawa lari jet pam air diburu

TANGKAP layar CCTV memaparkan suspek menaiki motosikal melarikan diri selepas tindakannya cuba mencuri jet pam air disedari salah seorang individu dalam rumah di Taman Bentara, Telok Panglima Garang, Kuala Langat Selangor,semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Cubaan seorang lelaki memecah masuk sebuah kediaman untuk mencuri jet pam air tidak kesampaian apabila kehadirannya disedari dalam kejadian di Taman Bentara, Telok Panglima Garang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.43 petang apabila kehadiran lelaki itu disedari isteri pemilik rumah tersebut.

Menurutnya, isteri pengadu memaklumkan terdapat seorang lelaki yang tidak dikenali menaiki motosikal memasuki kediaman dengan membuka pagar rumahnya.

“Suspek mengambil jet pam air yang diletakkan di dalam kawasan rumah dan cuba melarikannya dengan menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna biru.

“Bagaimanapun, bapa mentua pengadu yang berada di dalam rumah menyergah suspek. Suspek yang terkejut melepaskan pam air ini dan terus melarikan diri menaiki motosikalnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, ketika kejadian terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kejadian berlaku.

“Kita meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu mengesan suspek. Kes disiasat dibawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular dalam laman sosial Facebook rakaman CCTV berdurasi satu minit 15 saat memaparkan seorang lelaki menaiki motosikal cuba memasuki sebuah kediaman sebelum melarikan jet pam air. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya