PETALING JAYA: Lebih baik ‘dikitai’ sekarang daripada dihukum pada kejohanan sebenar, itu situasi Harimau Malaya selepas dibenam 4-1 oleh Kuwait dalam aksi persahabatan semalam.
Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe berkata, perlawanan itu kesempatan terbaik buatnya mengesan kelemahan pasukan, sebelum memperbaikinya dalam aksi pemanas badan kedua menentang Bahrain di Manama, Jumaat ini.
Kata Cheng Hoe, biarpun keputusan itu sedikit menjejaskan moral pemain, namun tiada sebab untuk beliau menekan butang panik kerana cabaran sebenar adalah kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula 4 Jun depan.
“Banyak kelemahan kita boleh lihat dalam perlawanan ini dan saya akui aksi yang dipamer tidak memuaskan, namun saya anggap pertemuan menentang Bahrain nanti lebih penting.
“Ini pengajaran berguna dan kesempatan buat kami memperbaiki kelemahan,” katanya.
Dalam saingan di Stadium The Seven, Dubai itu, Harimau Malaya memperoleh gol saguhati menerusi Guilherme de Paula, yang meledak jaringan pertamanya bersama Malaysia pada minit ke-28.
Cheng Hoe juga dapat menguji seorang lagi pemain naturalisasi baharu Malaysia, Liridon Krasniqi, selain penyerang remaja KV Kortrij, Luqman Hakim Shamsudin.
Mengulas bayangan kesebelasan utama, Cheng Hoe berkata, ia mungkin dapat dilihat ketika bertemu Bahrain memandangkan aksi tersebut menawarkan mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Kami tiada masa untuk menguji keserasian pemain, jadi kita akan turunkan pasukan terbaik menentang Bahrain,” katanya.
Skuad kebangsaan akan melengkapkan tiga baki saingan kumpulan G di Dubai dengan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 4 Jun ini, diikuti Vietnam (12 Jun) dan Thailand (16 Jun).