PUTRAJAYA: Lebih 5,000 pengamal media terdiri daripada 144 agensi media berdaftar di negara ini akan diberi janji temu vaksin dalam masa terdekat.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah menerima sejumlah 5,867 nama petugas media.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, CITF memutuskan supaya mereka (pengamal media) diberi slot janji temu secepat mungkin selepas butiran lanjut diterima.
“Ini (agihan vaksin) adalah selari dengan keputusan kerajaan untuk melindungi mereka di barisan hadapan dengan mendahulukan guru dan pengamal media,” katanya dalam sidang akhbar mingguan CITF, secara dalam talian, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata, satu ciri khas akan diperkenal di aplikasi MySejahtera akhir minggu ini khusus bagi memudahkan golongan ibu mengandung dan ibu menyusukan bayi mendaftarkan diri bagi slot janji temu vaksin.
Katanya, pihaknya akan memastikan bekalan vaksin diperuntukkan kepada golongan berkenaan sebaik sahaja pendaftaran dibuat.
“Kerajaan menetapkan hanya vaksin Pfizer disyorkan kepada dua golongan ini.
“Selain itu, Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan bermesyuarat pada Khamis bagi menentukan kesesuaian vaksin AstraZeneca kepada golongan itu,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, beliau tidak menghalang mana-mana pusat perubatan swasta yang berminat untuk mendapatkan sendiri bekalan vaksin.
Bagaimanapun, katanya, vaksin itu perlulah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Setakat ini, NPRA hanya meluluskan tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca untuk digunakan di negara ini,” katanya.
Katanya, beliau ingin menjelaskan bahawa vaksin Pfizer hanya dijual dan dibekalkan kepada kerajaan di seluruh dunia manakala, Sinovac pula menetapkan tempahan daripada kerajaan dipenuhi terlebih dahulu sebelum dibuka untuk jualan kepada pihak lain. – UTUSAN ONLINE