PETALING JAYA: Laman web rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengalami gangguan teknikal sejak petang tadi.
Gangguan tersebut berkemungkinan berpunca kesesakan trafik daripada permohonan permit ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh bermula esok.
Sebelum ini Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, semua perkhidmatan perlu di bawah sektor perdagangan pengedaran yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh total lockdown bermula esok perlu mendapatkan surat kebenaran operasi daripada kementerian terbabit.
Katanya, ia berikutan surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini adalah terbatal mulai esok.
Menurut beliau, permohonan surat kebenaran operasi boleh dibuat melalui laman web https://www.kpdnhep.gov.my bermula hari ini.
Utusan Malaysia cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada kementerian terbabit berhubung masalah yang berlaku. – UTUSAN