Laluan tikus di Kuala Sanglang ditutup, 'snap check' dari semasa ke semasa - Utusan Malaysia

Laluan tikus di Kuala Sanglang ditutup, ‘snap check’ dari semasa ke semasa

WARI KIEW menunjukkan kawasan laluan tikus yang ditutup di Jalan Tok Mengkubah, Kuala Sanglang, Kangar, Perlis. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis menutup lima lorong tikus dengan penghadang batu di sekitar kawasan sempadan Kuala Sanglang di sini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, selain tiga lorong tikus yang sebelum ini telah ditutup di pekan Kuala Sanglang, pihaknya juga menambah dua lagi lokasi iaitu Kampung Tok Mengkula dan Jalan Tok Mengkubah dekat sini.

Katanya, laluan tersebut sebelum ini didapati cukup aktif melibatkan orang keluar masuk.

“Sebelum ini, kami dapati orang ramai menggunakan lorong tikus di Kampung Tok Mengkula bagi mengelak melalui sekatan jalan raya (SJR) di kilometer 17, Simpang Empat.

“Jalan ini ditutup dua lapis iaitu lapisan pertama dengan penghadang jalan plastik yang akan diletakkan air serta mempunyai pelekat reflektif dan penghadang konkrit bagi tujuan keselamatan. Laluan hanya dibuka sedikit untuk motosikal memudahkan penduduk setempat untuk lalu bagi tujuan ke klinik dan sebagainya.

“Jika ada orang luar yang merentas negeri, tindakan akan diambil dan kompaun sebanyak RM5,000 akan dikenakan,” katanya ketika ditemui semasa melawat lorong tikus tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan SJR bergerak dan ‘snap check’ dari semasa ke semasa meliputi kawasan Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat bermula esok bagi memastikan orang ramai tidak membuat perjalanan lebih 10 kilometer.

“Kita tidak ada SJR tetap kerana nanti orang sudah tahu kita berada di satu-satu lokasi itu. Sebaliknya, kita akan buat snap check melalui dua pasukan iaitu pasukan pemantau dan pasukan kompaun.

“Selain itu, kedua-dua pasukan ini juga akan membuat pemantauan bagi memastikan syarikat yang tidak termasuk dalam kategori perlu tidak menjalankan operasi,” katanya.

Katanya, sebanyak 580 kenderaan memasuki negeri ini kelmarin melalui SJR di kilometer 17, Simpang Empat iaitu jumlah lebih rendah daripada hari sebelumnya iaitu sekitar 600 kenderaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya