BENI: Seorang pemimpin Islam mati ditembak selepas solat pada Selasa di Beni, di timur Republik Demokratik Kongo yang bertelagah, kata pemimpin masyarakat tempatan.
Ini merupakan pembunuhan kedua membabitkan pemimpin Islam bulan ini.
“Sheikh Moussa Djamali ditembak ketika dia kembali dari solat malam,” kata Donat Kibuana, pentadbir wilayah Beni, kepada AFP.
“Seorang yang tidak dikenali menembaknya dan kemudian melarikan diri,” tambahnya.
Mustapha Machongani, wakil Beni dari Komuniti Islam Congo (Comico) mengesahkan pembunuhan itu.
Djamali adalah pemimpin masjid Mavivi, 10 kilometer dari Beni dan tidak jauh dari lapangan terbang dan markas pasukan pengaman PBB.
Pada 1 Mei, seorang lagi pemimpin Islam tempatan, imam masjid kota itu, Sheikh Aliamini, dibunuh dengan cara yang sama, kata Machongani.
“Penembak itu mensasrkan tembakan ke kepala,” katanya.
Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF) – yang Amerika Syarikat senaraikan sebagai “organisasi pengganas” – telah dituduh membunuh lebih daripada 1,000 orang awam sejak November 2019 di sekitar Beni.