SEREMBAN: Penyiasatan secara telus, jujur dan adil perlu dilakukan berhubung isu salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak membabitkan Yayasan Negeri Sembilan (YNS).
Siasatan juga perlu dilakukan mengenai dakwaan serius berhubung pembabitan dua individu penting iaitu dalam YNS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuba ‘menyejukbekukan’ siasatan isu berkenaan.
Ahli Lembaga Pengarah YNS, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, dakwaan tersebut amat serius kerana ia bukan sahaja menyebabkan institusi SPRM tercalar tetapi juga memberi kesan negatif kepada Kerajaan Negeri Sembilan.
“Kita komited untuk memastikan kerajaan negeri bersih daripada sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa. SPRM juga perlu bebas daripada sebarang persepsi negatif bagi membolehkan ia berfungsi sebagai badan penguat kuasa yang disegani dan dihormati.
“Penyiasatan sepenuhnya secara telus perlu dilakukan kepada semua pihak yang bertanggungjawab untuk membersihkan institusi SPRM dan Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memberikan keterangan selama dua jam kepada pegawai SPRM berhubung isu salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak seluas 2,000 hektar yang diberikan kepada YNS.
Dua pegawai SPRM tiba di tingkat tujuh Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kira-kira pukul 10 pagi yang menempatkan pejabat Mohamad Rafie yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan.
Sementara itu, menurut Rafie, konsesi balak telah diberikan oleh kerajaan negeri terdahulu kepada YNS manakala proses tawaran tender konsesi tersebut pula dilakukan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri ketika ini.
“Perkara ini dalam siasatan dan tidak wajar untuk saya membuat sebarang komen sama ada, ada benda yang tidak kena atau ada yang tak betul atau sebaliknya.
“Cuma paling penting saya mengharapkan ada siasatan menyeluruh untuk memastikan bahawa kita dapat bersihkan imej, yang pasti jika tidak dilaksanakan akan kekal calar dalam pandangan rakyat,” katanya lagi.
Pada 22 April lalu, penulis blog, Raja Petra Kamarudin menerusi artikel di sebuah portal yang bertajuk ‘Pencegah Rasuah Pun Bapak Rasuah’ telah menyenaraikan 20 perkara utama antaranya membabitkan unsur rasuah dan salah guna kuasa individu tertentu termasuk dakwaan siasatan kes balak YNS telah disejukbekukan oleh SPRM. – UTUSAN