PARIT BUNTAR: Dakwaan berlaku pencerobohan tanah untuk projek kolam ternakan udang seluas 200 ekar di pesisir pantai di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, sebelum ini tanah di situ memang diterokai secara haram oleh pihak tertentu.
Katanya, namun kerajaan negeri mengambil alih kawasan itu dan menyerahkannya kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) untuk dimajukan.
“Dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengatakan kawasan tanah projek ternakan udang di sini tidak termasuk dalam kawasan zon industri akuakultur dan bercanggah dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035, juga tidak benar.
“Setelah kerajaan negeri memberikan tanggungjawab tanah itu di bawah SADC, tanah itu berada dalam status untuk pembangunan ternakan air atau ternakan udang.
“Jadi dakwaan NGO yang mengatakan tanah ini tidak termasuk dalam zon industri akuakultur kurang tepat dan tidak bercanggah dengan draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika membuat tinjauan projek kolam udang di Sungai Betul Bawah di sini hari ini.
Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.
Mengenai cadangan Hasnul Zulkarnain agar kawasan berkenaan dibina penempatan penduduk, Razman berkata, cadangan itu tidak sesuai.
“Tanah di kawasan ini tidak sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah penempatan kerana ia kawasan paya bakau dan berhampiran dengan laut,” katanya.
Sementara itu, Hasnul Zulkarnain kesal kerana SADC tidak membuat sebarang perbincangan dengan penduduk untuk pelaksanaan projek udang ternakan di kawasan itu.
Menurutnya, SADC perlu terlebih dahulu mendengar suara, keluhan serta pendapat dari penduduk di situ.
“Secara peribadi saya berpandangan kawasan ini tidak sesuai untuk ternakan udang kerana air dari kolam ternakan ini menjejaskan ekosistem dan pendapatan nelayan pantai,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai gesaan sebuah NGO, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) agar projek berkenaan projek udang kolam itu dihentikan kerana menjejaskan pendapatan nelayan. – UTUSAN ONLINE