HULU TERENGGANU: Padah melakukan aktiviti rentas negeri semasa Aidilfitri dan ziarah raya menyebabkan daerah Hulu Terengganu yang sebelum ini berstatus hijau bertukar kepada zon merah sekelip mata dengan sebanyak 124 kes aktif Covid-19.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, tindakan masyarakat melanggar prosedur operasi standard (SOP) akhirnya menyebabkan seluruh mukim Kuala Berang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa hari ini bagi membendung penularan yang besar.
Malah, badai Covid-19 akibat kluster raya turut menjejaskan mukim Hulu Telemong dan Tanggol menerusi lima kluster aktif yang dilaporkan di daerah berkenaan.
“Antaranya Kluster LH yang mempunyai sejarah pulang dari Johor dua hari sebelum Aidilfitri dan hasil ziarah raya antara ahli keluarga terdekat menyebabkan seramai 24 orang disahkan positif dan merebak pula ke pasar apabila empat pekerja am di situ dijangkiti.
“Satu lagi kluster di sebuah taman perumahan membabitkan individu balik dari Bentong, Pahang dan tergamak pula beraya dengan jiran-jiran hingga enam disahkan positif serta ratusan kontak rapat,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook hari ini.
Menurut Nor Azimi, tindakan seorang individu dari Johor yang pulang untuk berkahwin sekali gus melakukan ziarah raya menyebabkan lima dikesan positif Covid-19.
Katanya, walaupun berulang kali peringatan diberikan berhubung SOP dan larangan ziarah raya, namun nasihat itu diperlekehkan masyarakat berkemungkinan kerana mereka yakin tidak akan dijangkiti.
“Kita bagi nasihat menangguhkan rentas negeri, majlis raya dan ziarah untuk mengelakkan penularan tetapi kalian berterusan melanggar SOP hingga berlaku musibah angkara tangan sendiri, jadi tidak perlu menuding menyalahkan sesiapa.
“Akhirnya kita menangis bersama-sama melihat angka kematian meningkat setiap hari merentas sempadan umur dan jangan sampai katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Terengganu sudah tidak berbaki,” katanya. – UTUSAN