Khazanah terbit sukuk AS$1 bilion - Utusan Malaysia

Khazanah terbit sukuk AS$1 bilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berjaya menetapkan harga bagi penawaran sukuk terkini berjumlah sehingga AS$1 bilion (RM4.12 bilion).

Ia melibatkan dua bahagian iaitu sukuk bernilai nominal AS$400 juta (RM1.65 bilion) untuk jangka lima tahun yang matang pada tahun 2026 serta sukuk bernilai nominal AS$600 juta (RM2.47 bilion) untuk jangka 10 tahun yang matang pada 2031.

Hasil daripada penerbitan ini akan digunakan untuk pelaburan umum, pembiayaan semula pinjaman serta keperluan modal kerja Khazanah yang patuh syariah.

Institusi dana kekayaan negara itu dalam kenyataan berkata, sukuk tersebut akan diterbitkan melalui sebuah syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Labuan, Dua Capital Ltd (Dua Capital).

Khazanah pertama kali menerbitkan sukuk dalam dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2016, yang distruktur bawah prinsip Wakalah.

“Sukuk terbaharu ini pula dilancarkan pada petunjuk harga awal 125 mata asas (bps) sepanjang tempoh 5 tahun hasil Perbendaharaan AS serta 150bps sepanjang tempoh 10 tahun hasil Perbendaharaan AS.

“Urus niaga tersebut telah menyaksikan permintaan tinggi di Asia, Eropah dan Timur Tengah dengan harga langganan tertinggi yang dicatatkan kira-kira AS$6 bilion (RM24.72 bilion) ketika Khazanah menyemak semula panduan harga secara lebih ketat sebanyak 40bps dan 30bps, sekali gus berjaya menetapkan harga akhir Sukuk tersebut pada kadar keuntungan masing-masing sebanyak 1.658 dan 2.780 peratus,” menurut kenyataan itu.

Sukuk tersebut, yang kedua-duanya distruktur bawah prinsip Wakalah yang disandarkan kepada saham dan komoditi patuh Syariah, bakal disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad (di bawah Rejim Pengecualian) dan Singapore Exchange Securities Trading Limited (SGX- ST).

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Khazanah, Faridah Bakar Ali berkata, permintaan luar biasa yang dicatatkan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan kewangan Khazanah.

“Ini juga mencerminkan kemampuan kami untuk memenuhi mandat kami sebagai dana kekayaan berdaulat Malaysia.

“Penerbitan sukuk ini akan memanjangkan tempoh liabiliti kami sementara kami meneruskan usaha pengimbangan portfolio kami yang kini berlangsung,” katanya.

CIMB, DBS Bank Ltd., J.P. Morgan, MUFG dan OCBC Bank bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama dan Pengatur Bersama Penempatan, sementara KFH Capital dan Warba Bank bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya