PETALING JAYA: Kerajaan tidak pernah gagal dalam menangani penularan Covid-19, sebaliknya yang jelas rakyat sendiri ingkar dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan wabak itu menular.
Apabila penularan ini berlaku disebabkan sikap segelintir rakyat, ada pihak mengambil kesempatan dengan menyuruh dan mengadu-domba rakyat supaya menyalahkan kerajaan.
“Sebenarnya kerajaan tidak gagal untuk memutuskan rantaian Covid-19, namun sikap sesetengah rakyat yang ingkar PKP dan SOP.
“Disebabkan sikap itu, kes Covid-19 meningkat dan kerajaan memang sudah menyangka peningkatan mendadak dalam masa dua minggu disebabkan sikap segelintir rakyat tidak mendisiplinkan diri sendiri.
“Sikap segelintir inilah yang menyusahkan satu negara.
“Ketika kes Covid-19 pada permulaan PKP dilaksanakan, kes Covid-19 didapati menurun, namun tiada siapa mengatakan kerajaan berjaya, tapi apabila naik mendadak terpalit pula pada kerajaan.
“Lihat sahaja sikap segelintir rakyat yang melanggar PKP dan SOP sama ada di pusat membeli-belah, rentas sempadan, berkumpul dan banyak lagi,” kata Setiausaha Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hishamuddin Abdul Karim.
Beliau berkata, kerajaan membenarkan rentas sempadan hanya untuk kes penting, namun rakyat telah mengambil kesempatan walaupun bukan melibatkan kes-kes penting atau kecemasan.
“Ini memang sikap rakyat Malaysia yang sering mengambil mudah dan kesempatan serta tidak mahu merasa susah sedikit.
“Rakyat negara ini patut bersyukur kerana kerajaan kita bukan sahaja berlembut, malah banyak bertolak ansur.
“Yang pelik apabila rakyat kita ke negara luar seperti Singapura, nak melintas jalan pun sanggup tunggu lampu hijau, tapi di negara sendiri macam mana,” katanya.
Menyentuh mengenai Perintah Darurat, Hishamuddin yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Melaka berkata, pelaksanaan darurat yang ada sekarang membuktikan kerajaan masih bertolak ansur.
“Jika perintah itu dilaksanakan dengan tegas tanpa bertolak ansur, hendak rentas sempadan pun tidak boleh, hendak pergi membeli-belah pun tidak boleh dan hanya pada waktu tertentu sahaja.
“Kalau perintah darurat itu dikuatkuasakan dengan tegas, kita akan lihat semua pergerakan dikawal ketat dengan anggota tentera di sana-sini. Tapi semua ini rakyat tidak fikir.
“Sikap bertolak ansur kerajaan juga disebabkan kerajaan memikirkan keperluan rakyat. Di samping itu kerajaan juga tahu bahawa sikap rakyat negara ini yang pelbagai karenah dan memang kurang berdisiplin ,” katanya.
Hishamuddin turut menyentuh tindakan sesetengah pihak yang sengaja menaikkan kain rentang tertera ‘kerajaan gagal’.
“Kita tahu mereka yang berbuat demikian sebenarnya dibayar oleh pihak tertentu. Oleh itu, fikirkan semula sama ada duit yang diperolehi itu haram atau halal.
“Jangan sebab duit, kita hilang pegangan prinsip.
“Rakyat juga harus ingat bahawa sejak awal PKP tiada rakyat yang tersisih dan tiada yang mati kebuluran kerana kerajaan memang ada pakej dan pelan untuk membantu rakyat, untuk memastikan rakyat dapat makanan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN