PONTIAN: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri lain disaran mencontohi kerajaan Johor yang mengadakan perbincangan secara maya bersama kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen berkaitan Covid-19, hari ini.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun perbincangan hanya berlangsung dalam tempoh tiga jam, namun ia cukup memberi ruang kepada ADUN dan Ahli Parlimen menyuarakan pandangan mereka.
Katanya, langkah yang diambil oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad amat dialu-alukan kerana turut dihadiri oleh pegawai tertinggi kerajaan negeri yang mendengar sendiri perbincangan tersebut.
Menurut beliau, secara tidak langsung mereka dapat membuat catatan serta mengambil tindakan yang perlu bagi sama-sama membendung penularan Covid-19 yang semakin mengganas ketika ini.
“Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor amat bertepatan kerana kerajaan memerlukan idea dan pandangan dari luar yang boleh digunakan dalam perancangan memerangi Covid-19.
“Saya mencadangkan banyak perkara antaranya pembukaan Parlimen dan Persidangan DUN dan pembelian vaksin bagi membolehkan lebih ramai rakyat Johor menerima suntikan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, di Taman Sri Api-Api di sini, petang ini.
Hasni hari ini mempengerusikan sesi perbincangan secara maya susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar Ahli Parlimen dan ADUN Johor termasuk pembangkang dilibatkan dalam usaha memerangi Covid-19.
Tambah Ahmad, semua pihak tanpa mengira fahaman politik ketika ini perlu berganding bahu bagi memastikan pandemik Covid-19 tidak membawa kesan lebih besar kepada rakyat di negara ini.
“Masa tiga jam yang diberikan sebenarnya tidak mencukupi kerana bilangan Ahli Parlimen di Johor adalah seramai 26 orang jika hadir semua, manakala ADUN pula seramai 56 orang,” ujarnya.
Oleh itu, beliau mencadangkan supaya diadakan sesi seterusnya pada masa akan datang dengan kehadiran Ahli Parlimen sahaja diikuti dengan ADUN pada sesi yang lain bagi memberikan ruang yang lebih.
Beliau juga berharap supaya persidangan Parlimen dapat dibuka bagi memberikan peluang kepada Ahli Parlimen menyatakan pandangan mereka tanpa menyentuh perkara-perkara yang lain.
“Jangan ada kebimbangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan jatuh jika diadakan sidang Parlimen kerana saat dan ketika ini rakyat menjadi keutamaan oleh semua pihak,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN). – UTUSAN