Kerajaan beri kelonggaran bayaran sumbangan Kumpulan Wang PPS bernilai RM910.4 juta - Utusan Malaysia

Kerajaan beri kelonggaran bayaran sumbangan Kumpulan Wang PPS bernilai RM910.4 juta

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi kelonggaran kepada syarikat penyedia khidmat telekomunikasi dan multimedia berhubung sumbangan kepada Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Kumpulan Wang PPS).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kelonggaran itu membabitkan permohonan bagi menangguhkan atau membuat bayaran secara ansuran terhadap sumbangan yang wajib dibuat kepada Kumpulan PPS.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menyedari pemegang lesen yang menyediakan perkhidmatan telekomunikasi turut terkesan akibat pandemik yang masih melanda negara.

“Sebanyak 34 syarikat memohon kelonggaran membayar sumbangan berkenaan akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kelonggaran yang diberikan kepada syarikat-syarikat ini melibatkan jumlah sumbangan sebanyak RM910.4 juta bagi tempoh Januari tahun lalu hingga April lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, Kumpulan Wang PPS yang dikendalikan SKMM bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan digital ke kawasan yang kurang mendapat capaian telekomunikasi.

Saifuddin berkata, Kumpulan Wang PPS mengumpul sumbangan wajib sebanyak enam peratus daripada syarikat perkhidmatan telekomunikasi yang mencatat keuntungan bersih melebihi RM2 juta pada tahun kewangan yang dinilai.

Menurutnya, Kumpulan Wang PPS amat penting dalam membiayai usaha untuk mengurangkan jurang digital terutama dari segi liputan infrastruktur.

“Kerajaan berharap kelonggaran ini dapat membantu syarikat-syarikat yang terkesan menyelaras semula operasi dan perniagaan mereka untuk terus menyumbang kepada
pembangunan sektor telekomunikasi di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya