Mahkamah Tinggi KL tetapkan keputusan permohonan Pejuang 23 Jun

Keputusan permohonan Pejuang 23 Jun

Encorp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Jun ini bagi keputusan permohonan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan Pejuang selaku pemohon dan pihak kerajaan sebagai responden pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Pejuang selaku pemohon manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Menteri Dalam Negeri (responden pertama) dan RoS (responden kedua).

Muhammad Rafique berhujah, responden pertama melanggar kewajipan statutori kerana hingga hari ini beliau dengan sengaja enggan atau gagal membuat keputusan terhadap rayuan Pejuang bertarikh 8 Januari lalu sama ada ditolak atau diluluskan.

Hujah beliau, responden pertama mempunyai kewajipan statutori membuat keputusan dengan kesegeraan yang praktikal mengikut Seksyen 18(b) Akta Pertubuhan 1966 dibaca bersama Seksyen 54(2) Akta Pentafsiran 1948 dan 1967.

Beliau menyatakan, hingga kini rayuan Pejuang telah berlarutan hampir 116 hari dan melebihi tempoh munasabah untuk membuat keputusan dan tindakan itu menafikan hak keperlembagaan Pejuang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 menggunakan logonya sendiri.

Muhammad Rafique turut berhujah, responden pertama `sibuk’ menguruskan hal-hal lain dalam portfolio selaku Menteri Dalam Negeri sedangkan keputusan rayuan itu mudah dan boleh dibuat dalam tempoh tujuh hari sahaja.

Oleh yang demikian,  Pejuang memohon perintah mandamus agar menteri memberikan keputusan terhadap rayuan itu dalam tempoh tujuh hari selepas penghakiman mahkamah.

Sementara itu, Ahmad Hanir berhujah bahawa Seksyen 18(2) Akta Pertubuhan tidak memperuntukkan tempoh masa untuk menteri memutuskan rayuan, namun ia perlu dibuat dalam tempoh yang munasabah mengikut kesegeraan yang praktikal.

Ujarnya, menteri dalam afidavit menyatakan terdapat 102 rayuan yang perlu diputuskan oleh beliau dan rayuan Pejuang didaftarkan pada nombor 90 dalam senarai rayuan.

Sehubungan itu, beliau berhujah, menteri perlu diberi tempoh yang munasabah untuk memutuskan rayuan kerana beliau turut bertanggungjawab terhadap pelbagai jabatan di bawah KDN dan menjalankan fungsi di bawah 47 Akta Parlimen.

Pada 1 April lalu, Pejuang memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu, selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan parti itu.

Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, Amiruddin antaranya memohon deklarasi bahawa kegagalan esponden pertama membuat sebarang keputusan terhadap surat rayuan parti Pejuang pada 8 Januari lalu berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua telah melanggar kewajipan statutorinya di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

Pada 2 Februari lalu media melaporkan, Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak.

Hamzah pula dilaporkan berkata permohonan pendaftaran Pejuang ditolak pada 6 Januari lalu berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966  dan parti itu boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya