Kenanga kekalkan momentum keuntungan, diperkukuh strategi digital - Utusan Malaysia

Kenanga kekalkan momentum keuntungan, diperkukuh strategi digital

Chay Wai Leong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank pelaburan bebas terkemuka Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM34.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meningkat RM41.1 juta berbanding kerugian bersih RM6.9 juta pada suku sama tahun lalu. 

Prestasi kukuh ini disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pembrokeran saham dan segmen pengurusan pelaburan serta kekayaan, selain bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama dengan Rakuten Trade.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chay Wai Leong berkata, strategi digital yang dilaksanakan memberikan kesan positif dalam tempoh mencabar ini.

Jelasnya, pelaburan teknologi yang dibuat pada tahun-tahun terdahulu seperti portal remisier membolehkan kumpulan bekerja secara jarak jauh sebelum kaedah tersebut menjadi norma baharu. 

“Kini kami terus mengendalikan pendaftaran akaun yang tinggi dan mengurus perkhidmatan klien dengan lancar meskipun berdepan dengan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara.

“Susulan lonjakan momentum pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan, kami optimistik namun mengambil sikap berhati-hati tentang kesihatan ekonomi secara keseluruhan bagi separuh kedua tahun ini. 

“Dengan sokongan inisiatif digital yang sedang dilaksanakan, kami berada pada landasan yang kukuh untuk memantapkan ekosistem kami, mengekalkan pertumbuhan dan mencapai sasaran bagi tahun 2021,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut prestasi kumpulan, hasil disatukan bagi suku tahun dalam tinjauan meningkat sebanyak 51.3 peratus tahun ke tahun kepada RM250.1 juta pada suku semasa. 

Pulangan Tahunan atas Ekuiti (ROE) adalah sebanyak 13.8 peratus, berbanding 10.7 peratus bagi tahun penuh 2020.

Bahagian pembrokeran saham Kenanga terus meraih manfaat daripada aktiviti pelaburan yang rancak di Bursa Malaysia. Pada suku semasa, bursa tempatan menyaksikan purata nilai dagangan harian (ADV) mencapai RM10 bilion, iaitu lebih tinggi daripada ADV sebanyak RM8.6 juta yang dicatat sepanjang tahun 2020. 

Hasilnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) daripada segmen tersebut melonjak kepada RM34.3 juta, berbanding dengan kerugian sebelum cukai (LBT) berjumlah RM13.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

PBT daripada bahagian pengurusan pelaburan dan kekayaan melonjak hampir 15 kali ganda daripada RM0.5 juta pada suku pertama 2020 kepada RM7.6 juta pada suku semasa yang dipacu penjanaan pendapatan daripada cas pengurusan yang lebih tinggi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya