Keluarga adakan majlis perkahwinan dikompaun RM4,000

Keluarga adakan majlis perkahwinan dikompaun RM4,000

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga yang mengadakan majlis kenduri kahwin di Iskandar Puteri, dekat sini pada Jumaat lalu antara yang dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan majlis tersebut yang dipercayai diadakan kira-kira pukul 5.30 petang.

“Susulan laporan yang diterima pada pukul 8 malam, polis membuat pemeriksaan ke lokasi majlis diadakan namun mendapati kenduri kahwin itu sudah selesai dan tetamu sudah bersurai.

“Berdasarkan bukti bergambar yang diberikan oleh pengadu tersebut, polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 kepada tuan rumah majlis berkenaan yang jelas melanggar SOP,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini. 

Ayob Khan berkata, majlis kenduri kahwin itu merupakan salah satu daripada 20 aktiviti sosial yang dikenakan kompaun oleh Polis Johor kerana kesalahan melanggar SOP Aidilfitri. 

Kata beliau, keseluruhan 20 kompaun yang dikeluarkan pihaknya pada Jumaat dan Sabtu lalu itu membabitkan nilai RM42,000.

“Mengikut pecahan, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan di daerah Batu Pahat bagi kesalahan aktiviti ziarah raya, empat kompaun di Kluang dan satu di Johor Bahru Utara (JBU) turut membabitkan kesalahan yang sama. 

“Nilai semua kompaun itu adalah sebanyak RM42,000, namun sama ada ia dikurangkan atau tidak, bergantung kepada Kementerian Kesihatan,” katanya. 

Pada masa sama, Ayob Khan meminta masyarakat supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Siapa ingkar, kita akan ambil tindakan. Nak nasihat, kita dah bagi nasihat dah. Jadi, saya seru semua masyarakat khususnya di Johor, supaya patuhi SOP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya