TANJONG KARANG: Sebuah kedai menjual alat ganti kenderaan musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku berhampiran sebuah bank di sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 6.54 petang itu, kedai jenis teres dua tingkat itu terbakar 70 peratus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.54 petang dan anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira empat minit kemudian.
“Seramai 23 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kita dapati api sedang marak dan kerja-kerja pemadaman dilakukan bagi memadamkan kebakaran terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan tercedera dalam kejadian itu dan api berjaya dikawal pada pukul 7.05 malam.
“Setakat ini, punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN