GAZA: Semua pihak perlu mengutuk serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan tempat suci lain di Baitulmuqaddis, Sheikh Jarrah, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
Quds News Network melaporkan, perkara itu ditegaskan oleh jurucakap operasi bersama di Gaza, Abu Ahmad menerusi sidang akhbar.
Katanya, gencatan senjata yang dipersetujui hanya satu ‘wayang’ dan Zionis Israel tidak pernah mengotakan janjinya.
Disebabkan itu, jelasnya, pihaknya sentiasa berwaspada dan tidak pernah leka dalam menghadapi serangan, ketidakadilan mahupun tindakan pengepungan.
“Apabila berjanji kami akan penuhi janji, apabila memberi amaran kami akan membuktikannya dan apabila memutuskan untuk bertarung kami lakukannya.
“Kami bercakap kepada pihak musuh dengan jelas, sekiranya mereka melakukan serangan semula, kami akan berdepan dengan serangan itu. Tangan kami tidak pernah lekang daripada senjata dan pertempuran kita belum selesai.
“Keangkuhan tentera Israel hanya dapat dihadapi dengan ketahanan, serangan balas serta tentangan,” tegasnya.
Semalam, hanya beberapa jam selepas gencatan senjata dipersetujui antara Hamas dan Israel, polis Zionis sekali lagi menyerbu Masjid Al-Aqsa.
Polis Israel melepaskan gas pemedih mata kepada penduduk Palestin selepas solat Jumaat sehingga menyaksikan sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin cedera.
Penduduk Gaza sebelum itu meraikan kejayaan gencatan senjata yang dipersetujui dengan menyifatkannya sebagai kemenangan untuk penduduk Palestin.