JEMPOL: Sebuah kafe di Jalan Dato Komo, Bahau, di sini, dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 6.30 petang semalam, pasukan petugas pemantauan SOP PKP 3.0 ke premis berkenaan dan pemeriksaan ke atas premis mendapati ia tidak mengikuti SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut beliau, pemilik premis gagal menyediakan kemudahan QR Code MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan serta gagal menyediakan peralatan saringan suhu dan gagal menyediakan pensanitasi tangan.
“Oleh itu, pemilik premis iaitu seorang lelaki berusia 60 tahun dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan berkenaan.
“Kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, selain kompaun berkenaan, dua lagi individu di daerah berkenaan dikenakan kompaun masing-masing RM1,500.
Ia susulan mereka didapati gagal mendaftar masuk ke premis perniagaan di sekitar Kawasan Perniagaan Bandar Seri Jempol kira-kira pukul 10.55 pagi.
Menurutnya, dua lelaki berusia 24 tahun dan 27 tahun itu gagal mengimbas aplikasi mySejahtera di premis yang dimasuki dan dikenakan kompaun di bawah peraturan 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – UTUSAN ONLINE