KUANTAN: Hendak membeli gelang emas lelong pada harga RM422 tetapi akhirnya kerugian RM10,422 akibat ditipu penjual barang kemas berkenaan.
Kejadian bermula apabila seorang jururawat berusia 33 tahun di sini berminat membeli gelang emas yang dijual melalui laman sosial Instagram pada 20 Mei lalu.
Wanita itu seterusnya menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan di laman sosial berkenaan dan bercakap dengan seorang wanita.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek meminta mangsa membayar RM422 bagi tujuan pembelian.
Beliau menambah, suspek kemudian meminta mangsa membayar pelbagai jenis caj melibatkan amaun RM10,000 sebelum boleh menerima gelang emas itu.
“Mangsa diarahkan membuat tiga transaksi pembayaran pelbagai jenis caj ke dalam akaun bank yang sama.
“Bagaimanapun, mangsa masih tidak menerima gelang emas yang telah dibeli itu dan berasa tertipu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE