KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak sepatutnya takut untuk menggunakan rizab wang negara namun perlu dipastikan ia sampai ke golongan sasar dan bebas daripada ketirisan dan salah laku.
Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad antara lain berkata, hampir semua institusi kewangan dan perbankan di seluruh negara mengumumkan penyata kewangan tahunan dengan rekod keuntungan mencecah bilion ringgit.
Justeru itu, Hazwan menyeru agar institusi berkenaan untuk melaksanakan moratorium automatik bagi tempoh enam bulan tanpa penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman.
“Sudah pastilah tanggungjawab membantu negara ini perlu dipikul semua. Oleh itu, institusi kewangan juga boleh ‘berkorban’ untuk melaksanakan moratorium tanpa bunga dibawa ke hadapan.
“Tempoh akan datang ini akan menjadi amat mencabar. Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu menyaksikan ramai yang hilang punca pendapatan, yang kais pagi makan pagi pun tidak keruan.
“Kali ini episod duka datang kembali. Seharusnya, kerajaan dan semua pihak yang terlibat harus sama-sama berganding bahu membantu negara yang kita semua cintai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media memaklumkan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ akan dilaksanakan di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun sehingga 14 Jun depan.
Dalam tempoh sekatan tersebut, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Untuk rekod, setakat semalam, kes jangkitan harian baharu Covid-19 di seluruh negara mencatatkan 8,290 manakala jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini sebanyak 549,514. – UTUSAN