Jaket keselamatan jadi ‘talian hayat’ lima mangsa bot karam - Utusan Malaysia

Jaket keselamatan jadi ‘talian hayat’ lima mangsa bot karam

EMPAT daripada lima mangsa bot karam dibawa ke pangkalan Maritim Malaysia Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sementara menunggu seorang mangsa diselamatkan malam tadi. - IHSAN MARITIM MALAYSIA KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lima mangsa bot karam dipukul ribut di perairan negeri ini terselamat biarpun terapung kira-kira lima jam sebelum dijumpai kerana masing-masing memakai jaket keselamatan.

Bot dinaiki mereka dilaporkan terbalik di lokasi 17 kilometer dari Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, pukul 5 petang dan kesemua mangsa diselamatkan nelayan tempatan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), lima jam kemudian.

Mangsa terbabit ialah tekong bot, Yuzree Mahmud, 60, dan empat pemancing iaitu Che Muhamad Subri Che Noh, 56; Mohamad Azmil Mustafa, 35; Muhamad Suhalim Ibrahim, 46, dan Norman Hisham Ab. Rashid, 42.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacub berkata, selepas menerima maklumat kejadian, pihaknya segera menggerakkan operasi SAR menggunakan Bot Kilat 28.

Menurutnya, kelima-lima pemancing berusia 35 hingga 60 tahun dapat mengapungkan diri dalam tempoh lama kerana masing-masing memakai jaket keselamatan.

“Salah seorang mangsa adalah penjawat awam, empat lagi bekerja sendiri termasuk tekong bot dan kelima-lima mereka dalam keadaan sihat ketika diselamatkan sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia di pangkalan operasi Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Kesemua mangsa kehilangan dokumen penting seperti kad pengenalan dan lesen memandu selain barangan berharga seperti telefon bimbit dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Muhd. Nur Syam Asmawie berkata, kumpulan tersebut yang merupakan kaki pancing dari sekitar daerah ini turun ke laut pada pukul 4 petang semalam dengan tujuan untuk memancing.

Katanya, mangsa terakhir dijumpai pada pukul 11.15 malam dan selepas urusan dokumentasi insiden tersebut selesai, kelima-lima mangsa dijemput keluarga masing-masing pada pukul 3 pagi ini.

“Untuk rekod, terdapat beberapa kejadian bot karam berlaku di perairan Kelantan dan ada antara mangsa yang tidak memakai jaket keselamatan belum dijumpai sehingga kini.

“Maritim Malaysia Kelantan mengingatkan pengusaha bot sama ada bot pancing rekreasi, bot pelancong mahu pun nelayan menyediakan peralatan perlindungan diri sewajarnya bagi mengurangkan risiko kemalangan jiwa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya