PUTRAJAYA: Laporan awal mengenai kejadian pertembungan melibatkan dua tren Aliran Transit Ringan (LRT) akan diserahkan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Al-Bakri kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hari ini.
Menurut Ka Siong, laporan awalan itu disiapkan dalam tempoh 24 jam mengenai kejadian yang berlaku dan akan dimumkan kepada umum seberapa segera.
“Laporan Interim awalan dihantar kepada menteri dalam tempoh 24 jam. Saya menunggu dari Ketua Pengarah APAD hari ini untuk mendapatkan dapatan awalan.
“Saya menunggu laporan lengkap itu apa yang berlaku dan akan umumkan dapatan tersebut,” katanya ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, RTM, hari ini.
Menurut beliau, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak yang akan memulakan siasatan dalam tempoh dua minggu.
Kata beliau, pakar-pakar dari luar dan mereka yang ada kemahiran dalam pengoperasian LRT akan dilibatkan sama dalam pasukan itu untuk mengenal pasti punca perlanggaran kali pertama dalam sejarah 23 tahun operasi LRT di negara ini.
“Kementerian Pengangkutan memandang serius kejadian ini kita masih lagi sedang dapatkan jawapan apakah yang sebenarnya berlaku adakah itu kesilapan individu atau kesilapan lain.
“Kita akan melaksanakan post mortem secara mendalam kerana kita perlu beri keyakinan kepada penumpang bahawa sistem LRT boleh dipercayai. Sebab itu kita memastikan perkhidmatan LRT tidak tergendala,” katanya.
Dalam kejadian pukul 8.45 malam semalam, pelanggaran dua tren itu melibatkan tren dari Gombak yang membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya tidak membawa penumpang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ia dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku sekali gus mengakibatkan sebanyak 166 penumpang mengalami kecederaan. – UTUSAN ONLINE