-IPOH: Individu yang mendakwa anggota polis melakukan pemerasan terhadap suaminya dalam kejadian di Klebang, dekat sini minggu lalu diminta tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu terbabit memuat naik dakwaan tersebut menerusi akaun Facebook atas nama ‘Hawaa Azmann’ pada 11 Mei lalu.
Katanya, siasatan dilakukan oleh polis daerah Ipoh termasuk ke alamat individu berkenaan namun usaha yang dilakukan tidak berjaya apabila masih tidak menemukan wanita itu dan suaminya.
“Kita ambil maklum aduan oleh individu itu dan minta dia tampil bagi membantu siasatan. Jika dia takut untuk berjumpa pegawai atau anggota, datang jumpa saya sendiri.
“Mereka perlu tampil jika betul dianiaya atau diperas ugut oleh anggota agensi penguat kuasa supaya tindakan boleh diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah dekat Medan Gopeng, di sini hari ini.
Menurut beliau, individu terbabit telah memadam hantaran yang dimuat naiknya di Facebook dan pihaknya belum menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
Beliau memandang serius isu tersebut kerana berkait dengan dakwaan salah laku anggotanya.
“Individu itu mungkin takut sebab lepas dia muat naik hantaran itu, dia tarik balik. Kalau dia takut jumpa orang lain, jumpa saya sendiri untuk kita cari kebenaran,” katanya.
Pada 11 Mei lalu, pengguna Facebook berkenaan memuat naik hantaran yang mendakwa suaminya yang juga seorang mekanik bersama seorang rakan diperas ugut beberapa anggota di sebuah bank di Klebang.
Hantaran itu bagaimanapun dipadamkan sebelum individu sama memuat naik satu lagi hantaran memohon maaf pada 17 Mei lalu dengan memaklumkan bahawa suaminya hanya mereka-reka cerita kerana telah menggunakan wang simpanan mereka untuk tujuan lain. – UTUSAN ONLINE