Ibu bapa Haiza beraya tanpa gelak ketawa cucu-cucu

Ibu bapa Haiza beraya tanpa gelak ketawa cucu

NORDIN Daud (dua dari kanan) dan isterinya, Zainab Ebar melihat gambar anak-anaknya sambil ditemani Noorani (kanan) dan Muhammad Amirul Hafiz (kiri) di rumah mereka di Kampung Lama, Benut, Pontian, Johor. – FOTO/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Aidilfitri yang akan tiba diraikan dengan penuh sederhana oleh keluarga Nordin Daud, 83, dan Zainab Ebar, 69, tanpa kehadiran anak-anak dan cucu-cucu disebabkan larangan merentas negeri serta daerah oleh kerajaan.

Salah seorang daripada anak mereka merupakan penyanyi dan penyampai radio Kool FM, Rohaiza Nordin, 41, atau le­bih dikenali dengan panggilan Haiza tidak dapat pulang beraya pada tahun ini.

Menurut Nordin, turut tidak dapat pulang berhari raya ialah anak sulungnya, Noor Azman, 50, yang bertugas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak dan anak ketiga, Arba’iah, 43, yang tinggal di Kuala Krai, Kelantan.

“Anak kedua, Noorani, 49, berhari raya dengan kami kerana suaminya, Redzuan Abdullah, 52, berada di Singapura, manakala keempat-empat anak mereka bekerja dan belajar di Kuala Lumpur.

“Hari raya tahun ini bukan sahaja sepi tanpa anak-anak tetapi juga tiada gelak ketawa cucu yang jika dapat berkumpul kesemua sekali seramai 13 orang termasuk seorang cicit,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Benut di sini semalam.

Pada tahun lalu, Haiza me­minta tiada sesiapa mengunjungi atau menziarahi kedua-dua ibu bapanya di kampung berikutan pandemik Covid-19 dan tidak mahu dijangkiti virus tersebut.

Nordin yang juga pesara guru berkata, selain dia, isteri dan Noorani, mujur anak bongsunya, Muhammad Amirul Hafiz, 28, tinggal bersama mereka dan menjadi peneman serta membantu membuat persediaan men­jelang Aidilfitri.

Sementara itu, bagi Zainab, sudah tentu anak-anak dan cucu-cucunya akan merindui masakan rendang, ayam masak merah, sambal kacang, sayur lodeh yang disajikan olehnya bersama-sama ketupat dan burasak seperti mana tahun-tahun lalu.

“Sebagai ibu dan nenek, tentu merasa sedih kerana anak-anak dan cucu tidak dapat berkumpul bersama lagi pada kali ini, namun dengan adanya media sosial seperti panggilan video dapatlah mengubati ke­rinduan itu.

“Walaupun berempat sahaja pada tahun ini, tetapi saya akan masak lebih juadah pagi raya nanti untuk dihantar kepada saudara mara dan jiran tetangga yang berada di Kampung Lama dan di Ayer Baloi,” katanya.

Ujarnya, biarpun hari raya disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi daerah itu, persiapan tetap dibuat terma­suk menghias rumah dan membuat sedikit kuih-muih.

Dia yang juga peniaga kedai makan Larut Malam di Bandar Benut berharap kesemua anak-anak dapat menjaga diri masing-masing dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya