GAZA: Beberapa minggu lalu, Semenanjung Gaza bergelut dengan sistem kesihatan yang lemah disebabkan peningkatan kes Covid-19.
Pihak berkuasa terpaksa membersihkan bilik operasi hospital, menangguhkan rawatan tidak penting serta menempatkan semula doktor bagi memantau pesakit yang mengalami kesukaran bernafas.
Namun, minggu ini selepas serangan udara dari tentera Zionis Israel ke langit Gaza sehingga meragut 103 nyawa penduduk tidak berdosa termasuk 27 kanak-kanak serta 530 individu lain mengalami kecederaan di wilayah itu.
Bedilan roket yang dilancarkan tentera Israel menyebabkan pangsapuri musnah, kereta meletup dan bangunan lain roboh.
Golongan doktor di hospital terpaksa berhadapan dengan krisis kesihatan yang sangat berbeza sebelumnya.
Mereka terpaksa bertungkus lumus menempatkan semula katil di unit rawatan rapi serta merawat luka ratusan pesakit yang terkena letupan bom.
Raut wajah mereka sudah keletihan dan terpaksa bergegas merawat antara satu pesakit ke pesakit lain.
Situasi sudah kronik, doktor perlu membalut luka pesakit bagi menghentikan pendarahan, manakala keluarga mangsa lain sudah bersedia menunggu di pekarangan hospital bagi menunggu jenazah untuk dikebumikan.
Penduduk Palestin pula sudah tiada masa menunggu ketibaan ambulans.
Mereka terpaksa membawa mangsa yang cedera dengan kereta atau berjalan kaki ke Hospital Shifa yang terletak di wilayah itu.
KLINIK SESAK
Di Hospital Indonesia di bahagian utara kota Jabaliya, klinik itu tidak dapat lagi menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai disebabkan bom yang meledak di sekitar kawasan itu.
Percikan darah dapat dilihat di merata tempat, mangsa terpaksa berbaring di lantai, kanak-kanak pula menyambut Aidilfitri dengan tangisan darah.
Pejabat Kementerian Kesihatan di Gaza, Abdelatif Al-Hajj ketika dihubungi berkata, sebelum serangan Zionis Israel, pihaknya mengalami kekurangan kemudahan kesihatan yang sangat besar dan hampir tidak berupaya mengatasi gelombang kedua virus.
“Sekarang mangsa datang dari semua tempat dengan bilangan mangsa terkorban yang sangat kritikal. Saya risau kalau bilangan itu semakin bertambah,” luahnya.
Sistem kesihatan yang sangat daif seperti kekurangan bekalan beg darah, lampu pembedahan, bekalan antibiotik, alat pelindung diri, mesin pernafasan dan tangki oksigen dilihat semakin sukar menampung keperluan lebih dua juta penduduk di sana. -AP