Harga ketum kini cecah RM250 sekilogram di Thailand

Harga ketum kini cecah RM250 sekilogram di Thailand

RAMLI Wan Salin (enam dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam satu operasi di Padang Besar, Perlis hari ini. - FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Harga daun ketum yang boleh mencecah sehingga RM250 sekilogram bagi sesetengah kawasan di Thailand khususnya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini menjadi pendorong kepada peningkatan aktiviti penyeludupan barang terlarang itu.

Tambahan pula, cuaca hujan ketika ini dipercayai membantu percambahan daun ketum yang menjadikan penyeludup giat mengutip hasil untuk dibawa ke negara jiran dan mendapatkan keuntungan lumayan.

Walaupun negara kini dalam tempoh PKP,  namun penyeludup yang dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum di sekitar negeri ini dan Kedah itu seolah-olah tidak menghiraukan kawalan ketat yang dilakukan di sempadan negara.

Hal demikian dapat dilihat dengan rampasan demi rampasan daun ketum sejak akhir-akhir ini termasuk satu kes baharu melibatkan rampasan satu tan metrik ketum dianggarkan bernilai RM21,600 dalam serbuan berhampiran Pos Simpang Lima, Felcra Lubuk Sireh di sini hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 18  Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Ramli Wan Salin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, anggotanya yang sedang melakukan pemantauan di kawasan tersebut terserempak dengan sekumpulan penyeludup di dalam sebuah kebun getah.

“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, penyeludup yang dipercayai lebih daripada enam orang itu lari bertempiaran di kawasan semak yang gelap itu meninggalkan kenderaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 24 guni disyaki berisi daun ketum bernilai RM21,600. Penyeludup tersebut dipercayai menggunakan motosikal untuk memerhatikan pergerakan pihak berkuasa sebelum membawa masuk ketum untuk diseludup keluar menggunakan jalan tikus.

“Bagaimanapun, perkiraan mereka salah kerana pihak PGA sentiasa peka dengan keadaan di kawasan tersebut serta pergerakan mereka,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Bukit Kuan Chu (BKC​-7), di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya sentiasa memantau di sekitar sempadan kerana percaya penyeludup yang terlepas lari itu akan kembali meneruskan aktiviti mereka.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah  Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jelasnya, sejak mengambil alih kawalan di sempadan pada 1 Mei lalu, pihaknya berjaya merampas kira-kira lima tan daun ketum serta beberapa buah kenderaan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM236,230.

“Ini melibatkan 22 laporan dan rampasan termasuk ketum, kereta dan juga motosikal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya