JOHOR BAHRU: Hanya seramai 50 jemaah sahaja dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid di seluruh negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 7 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, bagi surau pula, seramai 20 orang jemaah sahaja dibenarkan bagi tujuan yang sama termasuk ahli jawatankuasa pengurusan kariah dan pegawai masjid dan surau Jumaat.
Beliau berkata, jumlah yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.
“Jawatankuasa pengurusan masjid dan surau boleh menyediakan ruang solat musafir dengan syarat mesti menyediakan petugas untuk memastikan jemaah yang musafir patuh dengan prosedur operasi standard (SOP).
“Sekiranya pihak jawatankuasa tidak dapat menyediakan petugas maka ruang solat tersebut hendaklah ditutup.
“Jawatankuasa masjid dan surau seperti imam, bilal, noja dan para jemaah hendaklah membawa sejadah bersaiz besar sendiri dan tidak berkongsi sejadah dengan jemaah lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengekalkan ketetapan membenarkan solat di seluruh negeri ini dengan kapasiti satu pertiga ruang solat masjid dan surau dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.
Mengulas lanjut, Tosrin memberitahu, jawatankuasa masjid dan surau juga perlu memastikan proses sanitasi dilakukan selepas solat Jumaat termasuk alat pembesar suara imam dan bilal.
Jelasnya, berdasarkan pemantauan pihak berkuasa mendapati masih terdapat dalam kalangan jemaah yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Ada yang tidak memakai pelitup muka, tidak membawa sejadah bersaiz besar, tidak menjaga penjarakan fizikal satu meter, tidak mengambil suhu badan dan jemaah yang kurang sihat hadir ke masjid dan surau.
“Sehubungan itu, pihak Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau hendaklah bertindak tegas dengan tidak membenarkan jemaah yang tidak patuh SOP masuk ke dalam masjid dan surau serta menghubungi pihak polis sekiranya diperlukan,” katanya.
Katanya, sekiranya terdapat masjid dan surau yang diarahkan tutup disebabkan berlaku kes Covid-19, maka ahli jemaah di masjid dan surau berkaitan hendaklah mendirikan solat fardu lima waktu di rumah kediaman masing-masing. – UTUSAN