REMBAU: Lima wanita dan seorang lelaki dikenakan kompaun dengan keseluruhan bernilai RM37,000 selepas dikesan menghadiri kelas solekan sekaligus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu kompaun berkenaan dikeluarkan petang semalam.
Menurutnya, kesalahan tersebut disedari berlaku oleh pasukan Pematuhan SOP di sebuah kediaman di Kampung Seberang Batu Hampar, dekat sini petang semalam.
Sementara itu, menurut sumber, tuan rumah iaitu seorang wanita yang menganjurkan kelas solekan berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM20,000.
“Satu kompaun bernilai RM5,000 turut dikenakan kepada seorang wanita kerana dikesan telah melanggar SOP PKP dengan merentas daerah tanpa surat kebenaran polis.
“Empat kompaun lagi dikeluarkan masing-masing sebanyak RM4,000 seorang kepada empat peserta berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun termasuk seorang lelaki kerana telah melanggar SOP PKP dengan berkumpul menghadiri kelas solekan di premis kediaman berkenaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sumber itu berkata, kesemua kompaun berkenaan dikeluarkan di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. – UTUSAN