Hadiah Syawal seorang imam, sebak terima rumah baharu

Hadiah Syawal seorang imam, sebak terima rumah baharu

KHAIRUDIN Hanipah (tiga dari kanan) menyerahkan kunci rumah kepada Abdul Mukhim Ab. Majid sambil disaksikan Muhammad Nizar Zakaria (tiga dari kini) di Parit, Perak, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Imam Masjid Khariah Kampong Chopin Kiri, Parit dan isterinya menitiskan air mata terharu dan bersyukur apabila menerima kunci rumah mereka yang dibina secara gotong-royong oleh warga Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Ulu Kinta di sini baru-baru ini.

Imam tersebut, Abdul Mukhim Ab. Majid, 60, pesara sebuah syarikat swasta adalah anak kelahiran Tanjung Belanja, Parit dilantik sebagai imam oleh Pejabat Agama Islam Seri Iskandar tetapi tiada kediaman kerana keluarganya masih tinggal menyewa di Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh disebabkan mempunyai anak yang masih bersekolah.

Pembinaan rumah ini juga adalah cetusan inisiatif Ahli Parlimen Parit, Datuk Seri Muhammad Nizar Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Hanipah dengan sokongan kariah dan dibantu oleh Briged Utara PGA dengan kos RM42,716.

Antaranya sumbangan kedua-dua wakil rakyat berjumlah RM15,000, sumbangan daripada syarikat-syarikat tempatan yang melakukan kerja-kerja di Kem Hulu Kinta berjumlah RM17,000 dan selebihnya infaq warga Briged Utara PGA termasuk 69 Komando dan Pusat Latihan PGA.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila berpeluang menjayakan projek jiwa murni itu yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara polis dengan masyarakat sempena Hari Polis ke-214 

Katanya, lebih bermakna apabila Abdul Mukhim adalah sahabat beliau selain Ahli Majlis Perak Tengah, Khairuddin Mohd. Kadri semasa sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Iskandar Shah, Parit di sini. 

“Banyak nostalgia dan kenangan yang kami tidak dapat lupakan semasa di alam persekolahan ketika berusia 13 tahun termasuk kisah-kisah pahit manis.

“Dengan siapnya rumah ini saya mendoakan Abdul Mukhim dapat mendiami kediaman ini dengan selesa dan meneruskan tugas-tugas sebagai imam bagi mengimarahkan Masjid Khariah Kampong Chopin Kiri,” ujarnya semasa berucap pada majlis tersebut.

Terdahulu, Abdul Ghani menyerahkan replika kunci rumah kepada Muhammad Nizar dan Khairudin sebelum kedua-dua wakil rakyat itu menyampaikannya kepada Abdul Mukhim. 

Pembinaan rumah bersaiz kira-kira 800 meter persegi dengan kemudahan dua buah bilik tidur, ruang tamu, dapur serta tandas ini bermula 15 Mac lalu melibatkan tujuh anggota PGA dibantu empat penduduk kampung dan siap dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, Abdul Mukhmin yang sangat terharu dan menitiskan air mata kegembiraan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya warga Briged Utara kerana membina sebuah rumah yang sangat selesa buat diri dan keluarganya.

“Selepas semua urusan selesai bolehlah saya membawa keluarga untuk berpindah menetap di sini. Ini hadiah Syawal sangat bermakna pada saya dan keluarga.

“Insya-Allah, saya berjanji akan teruskan kerja-kerja mengimarahkan masjid dan kariah Kampung Chopin selain mengadakan kelas agama kepada kariah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN