JOHOR BAHRU: Seorang guru berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM5 juta setelah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 12 pertuduhan menipu pelaburan emas melibatkan kerugian kira-kira RM284,200, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Hairulnizam Wahab, 39, yang mengajar subjek Sains di sebuah sekolah menengah di Pasir Gudang bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut kesemua kertas pertuduhan, Mohd. Hairulnizam didakwa menerima wang deposit berjumlah RM284,200 daripada 12 individu yang juga rakan sekerja tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah di Pasir Gudang dan sebuah kedai di Bukit Dahlia, di sini antara Mei hingga November 2014.
Kertas pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien, manakala Mohd. Hairulnizam diwakili peguam, Fahmi Adilah.
Hakim Ahmad Fuad memerintahkan tertuduh dibenarkan ikat jamin berjumlah RM48,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 20 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE