Guru besar didakwa salah guna wang zakat direman 5 hari - Utusan Malaysia

Guru besar didakwa salah guna wang zakat direman 5 hari

GURU besar sebuah sekolah kebangsaan direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengeluarkan wang zakat untuk anak-anak asnaf bagi kegunaan dirinya dua tahun lalu. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang guru besar sebuah sekolah kebangsaan direman lima hari bagi membantu siasatan kerana dipercayai menggunakan kedudukannya untuk menyalahgunakan wang zakat berjumlah RM75,000, dua tahun lalu.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani memerintahkan suspek berusia 54 tahun itu direman bermula hari ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Menurut sumber, suspek didakwa menggunakan kedudukannya dengan mempengaruhi pihak pengurusan Badan Kebajikan Guru-Pekerja (BKGP) sekolah tersebut bagi mengeluarkan wang sumbangan zakat.

“Suspek dipercayai mengeluarkan wang sumbangan zakat daripada sebuah bank berjumlah kira-kira RM75,000 untuk bantuan anak-anak asnaf.

“Dia yang kini bertugas di sebuah sekolah kebangsaan berlainan dipercayai menggunakan wang yang dikeluarkan ini untuk kegunaan dirinya sendiri,” katanya.

Terdahulu, suspek ditahan di pejabat SPRM Cawangan Klang kira-kira pukul 4 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kesalahan tersebut disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN